Abu Faiz
this site the web

Sifat Mahmudah

KETIKA manusia diciptakan, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia ialah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam.

Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah berfirman bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 132).

Namun, diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang. Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang.

Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.

Memang tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan mudah dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: “Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura, ayat 43).

Sifat pemaaf memang sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.

Contohnya, bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi. Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal.

Kadangkala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan.

Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri.

Di sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang logik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga melakukan pembunuhan.

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.

Nabi Muhammad bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).

Pentingnya sifat menahan marah mendorong Nabi Muhammad apabila diminta oleh seorang lelaki agar berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, menjawab ringkas iaitu ‘jangan marah’.

Lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia bertanya kali kedua mengharapkan agar Rasulullah memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya. Tetapi Rasulullah tetap mengulangi perkataan ‘jangan marah’.

Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan memperbanyakkan melakukan ibadat wajib dan sunat. Dengan kekuatan takwa dan iman secara langsung akan menjauhkan perkara yang ditegah, termasuk sifat pemarah.

Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Sebab itu, selalu memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil dan mudah hilang sifat marah.

Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?

Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk apakah tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati.

Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak. Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum ini selesai.

Jika sifat memaafkan diamalkan, insya Allah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya.

Ciri-ciri Pelajar Muslim Contoh

1. Membetulkan niat. Di kalangan kebanyakan pelajar, tujuan belajar ialah untuk mendapatkan sijil yang dengannya ia boleh memegang jawatan dan dapat menyara hidup. Tetapi yang Islam kehendaki supaya niat ia belajar ialah untuk memberikan sumbangan terhadap Islam, Orang-orang Islam dan menegakkan negara Islam serta mengisi ruang kekosongan yang diperlukan oleh Islam kerana Islam menggalakkan kita supaya menuntut ilmu dan melaksanakan kewajipan menjadi khalifah di muka bumi dan memakmurkannya dengan kuasa-kuasa yang Allah sediakan di dalamnya.Niat yang begini akan menjadikan belajar itu salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah dan akan diberi pahala atas segala usaha, masa dan harta yang digunakan itu supaya pelajar mengetahui yang mengasas dan mencipta ilmu-ilmu ialah ulama Islam. Oleh itu kita perlu berusaha supaya dapat mengeluarkan ahli-ahli yang pakar di dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan.

2. Pelajar Muslim juga hendaklah membetulkan pandangannya kepada pelajaran dan ia bukan semata-mata penguasaan akal tentang maklumat-maklumat yang perlu dipenuhkan di dalam otak untuk menjawab di dalam peperiksaan di akhir tahun, tetapi yang dikehendaki ialah dapat menyediakan peribadi terpelajar yang membina ilmunya, boleh memberikan faedah kepada kehidupan manusia, dan ia hendaklah mengetahui tentang sejauh mana hubungan apa yang dipelajarinya dengan kehidupan. Pelajar Islam juga perlu tahu bahawa pendidikan akhlak adalah perlu didahulukan dari ilmu pengetahuan yang lain, dan di sana tidak ada yang lebih utama dari ajaran Islam dan adab-adabnya untuk melaksanakan pendidikan. Mereka juga hendaklah mengetahui adab-adab Islam dan ajaran-ajarannya dan memaksakan dirinya untuk mengetahuinya, membiasakan diri dengan sifat benar, amanah, menunaikan janji, berlemah lembut dan segala akhlak Islam dan menjauhkan diri dari akhlak yang dikeji. Dan yang paling nyata sekali ialah perkara yang mesti ditunaikannya terutamanya sembahyang, berbuat baik terhadap dua ibu bapa, berbaik-baik hubungan dengan keluarga dan kawan-kawannya.

3. Pelajar Muslim contoh hendaklah pandai memilih kawan dai kalangan kawan-kawannya. Ia seterusnya memilih kawan yang soleh dan tidak berkawan dengan orang yang jahat. Perhubungannya hendaklah sederhana dan dapat dikawal; jangan sampai membuang masa pelajarannya.

4. Ia juga pandai dalam memilih majalah-majalah untuk merehatkan fikirannya. Pilih yang bersih dan berfaedah dan jauhkan dari yang merosakkan dan dosa.

5. Ia hendaklah memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap pelajaran kerana masa umurnya yang begitu adalah umur untuk belajar dan membentuk peribadi. Masa itu hendaklah dihabiskannya dengan sebaik-baiknya untuk pelajarannya supaya selepas itu dia dapat menumpukan pula kewajipan-kewajipannya selepas belajar.

6. Urusan rumah, sekolah atau kuliah, di meja dan tempat tidur hendaklah teratur rapi. Tempat letak pakaian, buku-buku dan nota-nota kuliah mestilah teratur supaya tidak membuang masa untuk mencarinya bila diperlukan. Pelajar yang tidak sistematik akan menyebabkan pemikirannya juga tidak tenteram dan membuang masa dan tenaga untuk mencari alat-alat yang diperlukannya.

7. Masa hendaklah disusun dengan baik sama ada masa untuk belajar, mengulangkaji, tidur dan berusaha untuk mengikut waktu yang ditetapkan itu. Jangan tinggalkan masa itu dipengaruhi oleh keadaan dan urusan-urusan lain, alat sebaran dan lain-lain keadaan yang menghabiskan masa. Sembahyang hendaklah ditunaikan apabila masuk sahaja waktunya, kerana menunaikan sembahyang adalah sebagai memperbaharui tenaga dan memohon pertolongan dari Allah. Perlu diingatkan bahawa jangan gunakan waktu tidur untuk belajar dan waktu belajar untuk tidur. Ramai pelajar yang tidak mengambil berat terhadap pelajarannya di awal pelajaran dan masa di buang begitu sahaja, mereka menggantikan masa yang dibuangnya itu di akhir tahun dengan berjaga sepanjang malam. Ini adalah satu kesalahan yang besar bagi pelajar Muslim contoh dan patut dijauhinya. Waktunya hendaklah disusun sejak dari awal pembelajaran lagi secara sederhana kerana dengan secara paksa akan menyebabkan kegagalan.

8. Pelajar Muslim contoh hendaklah membiasakan diri dengan kebersihan dimulai dengan pembersihan dalaman, pembersihan hati dari dendam dan hasad, pemarah dan takabbur, terpedaya dan setiap yang dimurkai oleh Allah. Hatinya hendaklah dipenuhi dengan sifat taqwa, kasih saying, ikhlas, bersih hati, bertawadu’ dan setiap yang diredhai oleh Allah. Setelah itu hendaklah dijaga kebersihan badan, pakaian, tempat tidur, meja tulis dan buku-bukunya.

9. Ia hendaklah mengutamakan menerima pelajaran terus dari guru-gurunya dan jangan tidak hadir kelas kecuali berlaku keuzuran yang kuat. Fikirannya hendaklah sentiasa sedar (memberi tumpuan) ketika mengikuti pengajaran guru, tidak terganggu dengan urusan yang lain, kerana jika ajaran guru itu dapat dikuasainya ini akan dapat menolongnya. Banyak perbezaan yang ia alami jika ia tidak hadir kelas atau tidak mengambil berat kuliah guru, tentunya ada di sesetengah tempat yang kurang jelas atau tidak faham betul. Lebih baik lagi jika ia dapat membaca pelajarannya itu sebelum disyarahkan oleh gurunya. Ini akan memberi penguasaan yang baik dan dapat memberi tumpuan pada aspek pelajaran yang ia kurang faham.

10. Ia hendaklah tahu bahawa kebanyakan pelajaran itu ada hubungan antara satu sama lain. Kebiasaannya sesuatu pelajan itu sukar difahami jika pelajaran yang sebelumnya tidak difahami lagi. Oleh itu jangan ada pelajaran yang tidak difahami. Kalau ini berlaku maka cepat-cepatlah pergi berjumpa kepada guru-guru atau kawan-kawannya.

SMK Jelai Boleh


Pembangunan Syahsiah Pelajar SMKJF

Banyak juga usaha yang telah dilakukan oleh pihak sekolah untuk membantu pelajar dalam pembinaan syahsiah dan pengamalan nilai-nilai murni. Al-hamdulillah semua usaha ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelajar-pelajar. Ini jelas menunjukkan pelajar sekolah ini tidaklah senagetif yang war-warkan oleh pihak luar. Setahun saya berada di sekolah ini, saya rasakan pelajar-pelajar sekolah ini memiliki jiwa yang lembut dan mudah dibentuk. Jadi terpulanglah kepada guru-guru dan ibu bapa dalam mengasuh dan mendidik anak-anak ini agar menjadi insan yang berkualiti yang boleh berbakti kepada agama, keluarga, bangsa dan negara.

Pelajar SMK Jelai BOLEH.

INSAN TERHEBAT
Assalamualaikum
Ramai orang bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang yang hebat. Tak salah untuk menjadi seorang yang hebat asalkan bertepatan dengan kehendak syarak. Untuk menjadi seorang yang hebat bukanlah mudah, malah ia memerlukan pengorbanan yang cukup tinggi. Kehebatan seseorang terletak pada iman dan takwanya. Firman Allah S.W.T : " Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa dikalangan kamu." Insyaallah, marilah sama-sama kita berusaha menjadi hamba Allah S.W.T yang hebat dari segi ibadah, muamalah dan syahsiah. Semoga kita semua menjadi hamba Allah S.W.T yang terhebat.

SMK JELAI FELDA

Salam Ukhuwah

Assalamualaikum.

Al-hamdulillah, dengan berkat tok guru-tok guru yang mengajar dapat juga saya membangunkan laman blog saya sendiri. Walaupun tidak sehebat dengan lawan blog yang lain, saya berbangga kerana saya memiliki laman blog yang saya rasakan pada mulanya ia terlalu sukar untuk dibina. Jesteru terima kasih diucapkan kapada En. Muhammad dan rakan-rakan pengajar, tak lupa juga terima kasih kepada anak-anak murid yang lebih mahir yang sudi membantu. Terima kasih juga kepada pihak sekolah khususnya pengetua yang memberi ruang dan peluang untuk saya menerokai ilmu pembinaan lamam blog ini secara percuma. Jazakallah Khairan Kathira. Syukran kepada semua.


 

W3C Validations

Cum sociis natoque penatibus et magnis dis parturient montes, nascetur ridiculus mus. Morbi dapibus dolor sit amet metus suscipit iaculis. Quisque at nulla eu elit adipiscing tempor.

Usage Policies