Abu Faiz
this site the web

Ciri-ciri Pelajar Muslim Contoh

1. Membetulkan niat. Di kalangan kebanyakan pelajar, tujuan belajar ialah untuk mendapatkan sijil yang dengannya ia boleh memegang jawatan dan dapat menyara hidup. Tetapi yang Islam kehendaki supaya niat ia belajar ialah untuk memberikan sumbangan terhadap Islam, Orang-orang Islam dan menegakkan negara Islam serta mengisi ruang kekosongan yang diperlukan oleh Islam kerana Islam menggalakkan kita supaya menuntut ilmu dan melaksanakan kewajipan menjadi khalifah di muka bumi dan memakmurkannya dengan kuasa-kuasa yang Allah sediakan di dalamnya.Niat yang begini akan menjadikan belajar itu salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah dan akan diberi pahala atas segala usaha, masa dan harta yang digunakan itu supaya pelajar mengetahui yang mengasas dan mencipta ilmu-ilmu ialah ulama Islam. Oleh itu kita perlu berusaha supaya dapat mengeluarkan ahli-ahli yang pakar di dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan.

2. Pelajar Muslim juga hendaklah membetulkan pandangannya kepada pelajaran dan ia bukan semata-mata penguasaan akal tentang maklumat-maklumat yang perlu dipenuhkan di dalam otak untuk menjawab di dalam peperiksaan di akhir tahun, tetapi yang dikehendaki ialah dapat menyediakan peribadi terpelajar yang membina ilmunya, boleh memberikan faedah kepada kehidupan manusia, dan ia hendaklah mengetahui tentang sejauh mana hubungan apa yang dipelajarinya dengan kehidupan. Pelajar Islam juga perlu tahu bahawa pendidikan akhlak adalah perlu didahulukan dari ilmu pengetahuan yang lain, dan di sana tidak ada yang lebih utama dari ajaran Islam dan adab-adabnya untuk melaksanakan pendidikan. Mereka juga hendaklah mengetahui adab-adab Islam dan ajaran-ajarannya dan memaksakan dirinya untuk mengetahuinya, membiasakan diri dengan sifat benar, amanah, menunaikan janji, berlemah lembut dan segala akhlak Islam dan menjauhkan diri dari akhlak yang dikeji. Dan yang paling nyata sekali ialah perkara yang mesti ditunaikannya terutamanya sembahyang, berbuat baik terhadap dua ibu bapa, berbaik-baik hubungan dengan keluarga dan kawan-kawannya.

3. Pelajar Muslim contoh hendaklah pandai memilih kawan dai kalangan kawan-kawannya. Ia seterusnya memilih kawan yang soleh dan tidak berkawan dengan orang yang jahat. Perhubungannya hendaklah sederhana dan dapat dikawal; jangan sampai membuang masa pelajarannya.

4. Ia juga pandai dalam memilih majalah-majalah untuk merehatkan fikirannya. Pilih yang bersih dan berfaedah dan jauhkan dari yang merosakkan dan dosa.

5. Ia hendaklah memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap pelajaran kerana masa umurnya yang begitu adalah umur untuk belajar dan membentuk peribadi. Masa itu hendaklah dihabiskannya dengan sebaik-baiknya untuk pelajarannya supaya selepas itu dia dapat menumpukan pula kewajipan-kewajipannya selepas belajar.

6. Urusan rumah, sekolah atau kuliah, di meja dan tempat tidur hendaklah teratur rapi. Tempat letak pakaian, buku-buku dan nota-nota kuliah mestilah teratur supaya tidak membuang masa untuk mencarinya bila diperlukan. Pelajar yang tidak sistematik akan menyebabkan pemikirannya juga tidak tenteram dan membuang masa dan tenaga untuk mencari alat-alat yang diperlukannya.

7. Masa hendaklah disusun dengan baik sama ada masa untuk belajar, mengulangkaji, tidur dan berusaha untuk mengikut waktu yang ditetapkan itu. Jangan tinggalkan masa itu dipengaruhi oleh keadaan dan urusan-urusan lain, alat sebaran dan lain-lain keadaan yang menghabiskan masa. Sembahyang hendaklah ditunaikan apabila masuk sahaja waktunya, kerana menunaikan sembahyang adalah sebagai memperbaharui tenaga dan memohon pertolongan dari Allah. Perlu diingatkan bahawa jangan gunakan waktu tidur untuk belajar dan waktu belajar untuk tidur. Ramai pelajar yang tidak mengambil berat terhadap pelajarannya di awal pelajaran dan masa di buang begitu sahaja, mereka menggantikan masa yang dibuangnya itu di akhir tahun dengan berjaga sepanjang malam. Ini adalah satu kesalahan yang besar bagi pelajar Muslim contoh dan patut dijauhinya. Waktunya hendaklah disusun sejak dari awal pembelajaran lagi secara sederhana kerana dengan secara paksa akan menyebabkan kegagalan.

8. Pelajar Muslim contoh hendaklah membiasakan diri dengan kebersihan dimulai dengan pembersihan dalaman, pembersihan hati dari dendam dan hasad, pemarah dan takabbur, terpedaya dan setiap yang dimurkai oleh Allah. Hatinya hendaklah dipenuhi dengan sifat taqwa, kasih saying, ikhlas, bersih hati, bertawadu’ dan setiap yang diredhai oleh Allah. Setelah itu hendaklah dijaga kebersihan badan, pakaian, tempat tidur, meja tulis dan buku-bukunya.

9. Ia hendaklah mengutamakan menerima pelajaran terus dari guru-gurunya dan jangan tidak hadir kelas kecuali berlaku keuzuran yang kuat. Fikirannya hendaklah sentiasa sedar (memberi tumpuan) ketika mengikuti pengajaran guru, tidak terganggu dengan urusan yang lain, kerana jika ajaran guru itu dapat dikuasainya ini akan dapat menolongnya. Banyak perbezaan yang ia alami jika ia tidak hadir kelas atau tidak mengambil berat kuliah guru, tentunya ada di sesetengah tempat yang kurang jelas atau tidak faham betul. Lebih baik lagi jika ia dapat membaca pelajarannya itu sebelum disyarahkan oleh gurunya. Ini akan memberi penguasaan yang baik dan dapat memberi tumpuan pada aspek pelajaran yang ia kurang faham.

10. Ia hendaklah tahu bahawa kebanyakan pelajaran itu ada hubungan antara satu sama lain. Kebiasaannya sesuatu pelajan itu sukar difahami jika pelajaran yang sebelumnya tidak difahami lagi. Oleh itu jangan ada pelajaran yang tidak difahami. Kalau ini berlaku maka cepat-cepatlah pergi berjumpa kepada guru-guru atau kawan-kawannya.

0 comments:

Post a Comment

 

W3C Validations

Cum sociis natoque penatibus et magnis dis parturient montes, nascetur ridiculus mus. Morbi dapibus dolor sit amet metus suscipit iaculis. Quisque at nulla eu elit adipiscing tempor.

Usage Policies